pagess

Klik Header Ini

Flash

Mutiara Kata Hari Ini

Tanda Allah Mengasihi HambaNya Adalah Dengan Memberinya Ujian...

Sunday, November 21, 2010

CERPEN : Sekeras Suiseki

"LEMPARKAN saja batu-batu itu ke laut!" 

“Tak mungkin.”“Selagi papa berdegil, selagi itu batuk darah papa tidak akan pulih.” Kata-kata Yuti menyihir dalam perasaan Papanya.
Kegilaan lelaki berumur itu terhadap batu-batu air yang dikumpulnya sejak 30 tahun lepas sukar dilunturkan. Apatah lagi sekadar cemuhan anak gadisnya, Yuti, tidak mampu menganjakkan pendirian Papa. 

“Aku, Jati. Siapakah yang berani melawan pendirianku?” 

Batu-batu air itu adalah batu yang terbentuk secara semula jadi setelah mengalami proses hakisan berjuta tahun. Batu-batu unik yang berbagai-bagai bentuk penciptaannya. Batu air bentuknya mirip gunung, binatang, manusia, tumbuhan dan pelbagai lagi bentuk di luar kotak imaginasi. Itulah Suiseki. Ungkapan bahasa Jepun ‘Sui’ yang bererti air dan ’Seki’ yang bererti batu itu dianggap keramat oleh Jati. 

“Papa, Yuti sayangkan papa. Kesihatan papa lebih penting daripada Suiseki itu.” “Jadi, kamu berasa sakit papa ini berpunca daripada batu itu?” 

Yuti yang kebiasaannya tidak tewas berbidas terdiam. Soalan Jati mematikan hujah akal anak gadisnya itu. Yuti mendengus perlahan. Dia memalingkan wajah ke luar jendela. Namun, pandangannya tidak dapat lari daripada Suiseki. Batu-batu air kebenciaanya. Suiseki ada di setiap penjuru hidupnya, di ruang tamu, laman rumah, dapur, kamar bahkan, tandas juga dihiasi dengan batu-batuan yang men jelek kan itu. 

Jati bersungguh-sungguh mempertahankan diri. Sesekali suaranya diselangi batuk. Nafasnya berbunyi semput. Yuti sekadar mengerutkan dahi, pandangannya menyoroti seksa batuk papa itu. Dia muak dengan kedegilan papa. Tekaknya umpama sungai yang kering. Dia sudah tidak larat lagi untuk menasihati papa. 

“Papa tidak pernah mendengar keluhan Yuti!” 

“Suiseki. Suiseki. Suiseki.” Yuti menongkat dagu. Selera makan malamnya merudum sifar. Batu-batu Suiseki itulah puncanya. Dia merungut dalam hati sambil merenung tajam batu hitam berbentuk bujur dan beralur yang diletakkan di tengah-tengah meja makan itu. 

Jati mengesan keanehan pada wajah Yuti. Dia sudah masak benar dengan sikap Yuti. Anak gadis yang sering saja menentang minatnya. Minatnya mengumpul Suiseki sering kali disalahertikan. Suiseki yang dikumpulnya itu dianggap berhantu dan membawa petaka oleh Yuti. Padahal selama ini dia tidak pernah menghalang Yuti melakukan aktiviti mencabar yang diminati. Dia membenarkan Yuti menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu, menyelam di Laut Gaya, berkhemah di hutan tebal dan sebagainya. Namun sikap Yuti yang gemar menentang itu kadang-kadang mencetuskan sekelumit kekecewaannya. 

“Papa, esok kita ke hospital ya?” 

Raut wajah Yuti berubah serta-merta, bersama-sama emosinya. Jati terus menyuap makanan seolah-olah tidak mempedulikan cadangan anak gadisnya itu. Dia meneguk air. 

“Tak apa, batuk papa ni biasa-biasa saja.” 

“Papa, batuk papa itu luar biasa. Batuk berdarah. Kalau dibiarkan, nanti makin parah.” 

Yuti menyangkal penuh emosi. Raut wajahnya kembali berubah seperti biasa. Jiwanya merusuh. Dia mencebik. Jati terus menyuap makanan tanpa menghiraukan kata-kata Yuti. Sikap degil papanya yang menjadi-jadi itu menjentik kebimbangannya. Yuti tidak mahu kehilangan papa. Yuti tiada ibu atau saudara-mara lagi selain papa. Bagi Yuti, harta kekayaan tiada maknanya tanpa papa di sisi. Yuti merajuk. Dia langsung ke kamar meninggalkan papa sendirian di ruang santapan dan makanan yang belum berjamah itu. 

“Papa degil. Papa tak sayang Yuti. Semuanya gara-gara Suiseki itu!” Rungut Yuti sendirian di kamarnya. Dia menangis lagi, mendengar batuk papa dari ruang makan itu. 

Malam likat dengan kehitaman. Bulan tidak memunculkan rupa. Bintang malap tenggelam dalam kelikatan malam itu. Malam sayu. Sehiba esak tangis Yuti di ranjangnya. 

Sepanjang malam, Jati batuk lelah berdarah. Matanya tidak boleh terlelap walaupun sepicing. Tekaknya perit. Sesekali lidahnya berlendir, air liur mengalir di seputar bibir. Darah merah pekat tersembur bersama-sama batuknya. Dia menahan derita itu keseorangan di dalam kamar dengan pintu bertutup. Kedap bunyi atau suara. 

Pagi bersiulan nada sendu. Burung-burung membisu. 

“Papa!” 

Yuti menggoncang tubuh papa. Namun, mata papa tetap terpejam. Tiada sebarang reaksi daripada papa. Dia mengesat darah merah di bibir papa dengan lengan bajunya. Lantas, dibawanya papa ke hospital. 

“Nampaknya, bapa Cik Yuti perlu melalui prosedur Pleural biopsy.” 
“Pleural biopsy?”Yuti mengerutkan dahi. 

“Ya. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mendapatkan sampel tisu pleura iaitu lapisan yang meliputi bahagian paru-paru Encik Jati. Sampel ini sangat penting untuk diagnosis. Setelah bapa Cik Yuti sedar nanti, saya harap Cik Yuti boleh berikan kerjasama dengan meminta persetujuannya untuk menjalani prosedur ini.” Ujar Doktor Ibnu. 

Yuti menggenggam erat tangan papa. Dia telah menanti di tepi katil itu sejak dua jam yang lalu. Namun, papa masih belum sedar. Hatinya hiba melihatkan salur dan wayar yang berselirat di tubuh papa. 

“Papa sudah sedar? Alhamdulillah ....” 

“Yu ... Yuti. Papa di mana sekarang?” Matanya terkebil-kebil kesilauan. 
“Papa. Yuti minta maaf, Yuti bawa papa ke hospital. Yuti tahu bahawa papa tidak menyukai tindakan Yuti ini. Doktor kata, papa kena lalui prosedur Pleural biopsy. Papa setuju?” 

Jati menggeleng-gelengkan kepala. Bibirnya masih berat untuk berbicara. Dia mengiringkan badan ke arah lain. 

“Papa, ini untuk kebaikan papa juga. Yuti sayang papa.” 

Jati terdiam. Kata-kata Yuti itu menusuk dalam perasaannya. 

“Papa setujukan?” 

Jati mengangguk perlahan dalam keterpaksaan. Pujukan itu berhasil. 
“Nurse, sediakan set Pleural biopsy, Bed 11.” 

Setelah 20 minit operasi dijalankan, Jati dibawa masuk ke bilik x-ray pula. Kemudian, dia berehat ditemani Yuti di sisinya. Doktor Ibnu turut berdiri di situ, mencatat sesuatu. 

“Doktor, saya mahu pulang sekarang.” 

“Encik Jati, saya nasihatkan encik tinggal dulu di sini selama beberapa hari lagi. Lagipun keadaan encik masih belum stabil.” 

“Tidak. Aku mahu pulang sekarang.” 

Yuti memandang Doktor Ibnu. Doktor Ibnu mengetap bibir, memahami bahasa mata Yuti itu. Jati bukanlah seorang yang mudah dipujuk lebih-lebih lagi untuk mendapatkan rawatan moden. 

Kereta mewah itu meluncur laju. Yuti memandu manakala papa tersandar sambil termenung. 

“Yuti tahu kenapa papa tak mahu ke hospital? Yuti tahu kenapa papa benci perubatan moden?” Soalan diutarakan berbondong-bondong. 

Yuti mengangkat bahu, tanda tidak mengerti. 

“Yuti tahu kenapa mama mati?” 

Spontan itu juga Yuti menekan brek. Kereta itu kaku di bahu jalan. Soalan papa itu menusuk jiwanya. Ya, dia tahu, mama pergi kerana serangan jantung tiga tahun lepas. Sejak papa mengumpul Suiseki itu. Mulai dari saat itu, petaka menimpa keluarganya. Mama kerap jatuh sakit. Jantung mama mengepam dengan lemah sekali. Mama selalu pengsan. Kini, papa pula menderita dengan batuk berdarah. 
“Semuanya angkara Suiseki. Yuti benci Suiseki!” 

“Bukan, bukan Suiseki. Semuanya salah doktor. Mereka cuai. Jantung mama berlubang kerana kecuaian itu.” 

Air mata Yuti mengalirkan deras tanpa dipaksa. Jiwanya terkesan dengan kata-kata papa. 

“Papa tidak percayakan mereka lagi. Cepat, bawa papa jumpa dukun.” Desaknya terbatuk-batuk. 

“Baik papa, kalau itu permintaan papa, Yuti akan turuti.” 
Dalam kesamaran, nyalaan lilin merah menerangkan empat sudut kamar dukun itu. Dukun itu berjampi serapah dengan penuh keanehan. Di hadapannya, tengkorak, limau kasturi, telur ayam dan kain kuning bersusun rapi. Mantera yang dibacakan dukun itu tidak difahami. Sesekali tubuh dukun itu menggelupur bagai dirasuk iblis. 

Yuti merapati papa. Gerak-geri dukun itu begitu meragukan. Dia tidak percaya akan perubatan dukun. Namun, papa sebaliknya. Papa lebih rela berubat tradisional walaupun bayarannya berlipat ganda mahal berbanding bil hospital. 
Papa batuk darah lagi. Yuti mengusap-usap belakang papa, matanya merenung dukun itu. 

“Biarkan dia batuk darah lagi. Biar habis bisa-bisa keluar dari badannya.” Dukun itu menegur Yuti. 

Papa semakin parah. Batuknya tidak henti-henti. Papa terbaring, mengerekot kesakitan. Bibir papa merah berlumuran darah. Yuti cemas melihatkan keadaan papa. 

“Yuti, papa tidak akan hidup lama. Ingat pesan terakhir papa. Jaga diri baik-baik. Jaga kehormatan diri kamu. Ketahuilah, dulu kita orang susah. Papa bersusah payah membesarkan kamu. Suiseki itu. Dengan batu-batu yang kamu benci itulah papa mencari nafkah. Papa menyara keluarga. Papa membesarkan kamu.” 
“Papa.” Seru Yuti pentar. 

“Sakit papa ini bukan dari Suiseki itu. Suiseki hanya seketul batu. Tak lebih daripada itu. Sakit, sihat, hidup, mati, semuanya daripada Tuhan, Yuti. Papa sayang Yuti.” 

Jati terpejam untuk selama-lamanya. Dadanya yang berombak tadi tenang. Tiada lagi hela nafas di rongga hidung papa. Darah merah mengalir dari bibir ke leher. 

“Papa! Jangan tinggalkan Yuti. Yuti sayang papa.” Yuti menangis. 

Yuti menggoncang tubuh papa yang tidak bernyawa itu. 

Sudah seminggu papa meninggal dunia. Aku sunyi. Aku keseorangan di rumah mewah ini. Hidupku ditemani Suiseki. Aku tidak lagi membenci Suiseki. Bahkan, setiap kali aku menatap Suiseki, aku terbayang wajah riang papa menggilap Suiseki. Namun itu semua sudah berlalu. Terlalu pantas bagiku. Aku masih memerlukan pendorong untuk terus hidup. 

Papa, dukun yang mengubati papa itu palsu. Dia menipu kononnya mampu mengubati apa saja jenis penyakit. Dukun itu sudah ditangkap polis. Dia akan terima pembalasan atas penipuannya itu. 

Papa, Yuti amat menyayangi papa. Tapi papa terlalu keras dengan pendirian papa. Papa sanggup merana dengan batuk berdarah papa. Yuti sedih melihat keputusan prosedur biopsi. Papa bukan terkena penyakit misteri. Penyakit papa ialah kanser paru-paru. 

Maafkan Yuti, papa. Maafkan Yuti kerana sering menentang papa mengumpul Suiseki. Yuti masih belum matang menilai sesuatu. Yuti terbawa-bawa oleh emosi remaja Yuti. Yuti cuma mahu melihat papa sihat. Itulah sebenarnya kebahagiaan Yuti. Bukan harta kekayaan. 

Yuti sayang papa .... 

Yuti mematikan nukilan diarinya di situ. Pen hadiah papa itu dibaringkan. Titis-titis air mata berjejeran di hamparan buku diari itu. 

Petang itu Yuti ke hospital untuk memaklumkan pemergian papa kepada pihak hospital. 

“Cik Yuti, kami sebagai doktor juga manusia biasa. Kami tidak lari daripada melakukan kesilapan. Namun, kami harus beri yang terbaik buat pesakit. Apa-apa pun, nyawa itu ketentuan Allah bukan? Kami cuma mampu berikhtiar kepada-Nya.” Ujar Doktor Ibnu. 

“Tentang dukun itu ....” Bicara Yuti perlahan. 

“Ya, saya faham masyarakat kita kadang-kadang lebih suka perubatan alternatif oleh pawang atau dukun. Sebaik-baiknya kita memilih jalan perubatan yang diredai Allah kerana Dialah yang berkuasa menyembuhkan. Bukannya makhluk. Apatah lagi kita manusia, sekadar makhluk yang lemah.” Ulas Doktor Ibnu dengan tenang. 

Yuti tersenyum. Jiwanya terubat. Nasihat Doktor Ibnu menjadikannya lebih kuat. 

Doktor Ibnu terus melontarkan pandangan, “Sejak dulu lagi perubatan moden telah dikuasai oleh orang Islam. Ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam lahir ketika kegemilangan tamadun Islam. Contohnya, Ibnu Sina yang digelar bapa perubatan. Beliau banyak memberi sumbangan dalam dunia perubatan moden sehingga di Barat, beliau dikenali sebagai Avicenna. Malah kitab perubatan karangan beliau masih menjadi rujukan sehingga hari ini. Sesuatu yang mengagumkan bukan?”


P/S : ini bukan karya aku...... tp bagus tulisannya.. >.<

No comments:

Klik-Klik

IKLAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...